Thursday, February 3, 2011

jgn slh lagi ! [tatabhsa]

Penggunaan bahasa Melayu acap kali berasa keliru untuk menggunakan perkataan kerenah atau karenah waima dalam pertuturan atau penulisan seharian mereka. Walaupun perkataan kerenah atau karenah tampak sama dari segi konotasinya tetapi sebagai pengguna bahasa Melayu, kita seyogianya mengenal makna kedua-dua perkataan tersebut secara mantik.


A) Kerenah :- ragam, tingkah laku, kemahuan.

Ayat contoh.

1. Cikgu Ahmad Zaki sentiasa mengingati muridnya agar mereka menjaga kerenah sewaktu mereka berada di tapak perhimpunan sekolah.

2. Puan Rohaida tidak betah lagi dengan kerenah beberapa orang pekerja asing yang tinggal di sebelah rumahnya.

3. "Pihak kerajaan sewajarnya mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana penjawat awam yang mengamalkan kerenah birokrasi dan makan suap," tega Puan Zaiton.

4. Encik Zulkifli berasa gembira setiap kali beliau melayan kerenah anak bongsunya membeli kudapan di gerai Mak Yam.

5. Seorang majikan memainkan peranan besar untuk mengenal pasti pekerja-pekerjanya tidak mempunyai kerenah yang boleh membantutkan produktiviti syarikat.



B) Karenah :- alamat, bukti, tanda.

Ayat contoh.

6. Ribut sabung meyabung pada petang kelmarin rupa-rupanya karenah hujan lebat pada malam tadi.

7. "Apakah karenah kekuasaan Allah SWT?" tanya Ustazah Norazilah kepada anaknya.

8. Simptom bintik-bintik merah di seluruh badan pesakit ialah karenah dia menghidap demam denggi.

9. Lazimnya, kokokan ayam jantan seawal 6.30 pagi karenahnya hari sudah siang.

10.Pelbagai bencana alam yang melanda Bumi kini merupakan karenah pengabaian manusia untuk melestarikan alam sekitar dengan sebaik-baiknya.


Penggunaan bahasa Melayu tidak seharusnya mempunyai kerenah melepaskn batuk di tangga apabila berbicara dalam bahasa Melayu melalui penggunaan nahu tatabahasa yang betul dan gramatis. Sikap cauvinis sesetengah penutur bahasa Melayu dan bertendansi terhadap bahasa kolonial merupakan karenah tahap kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu kian sirna dek ketidakfahaman tentang Bahasa Jiwa Bangsa.


No comments:

Post a Comment